Seperti diduga, khidmat jurulatih bola sepak kebangsaan, B. Sathianathan ditamatkan dengan
pemberian notis sebulan berkuat kuasa semalam.
Sathia bagaimanapun tidak berseorangan untuk meninggalkan kem pasukan kebangsaan apabila
pengurus pasukan, Datuk Soh Chin Aun turut ditamatkan perkhidmatannya serta-merta.
Mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) yang dipengerusikan
presidennya, Sultan Ahmad Shah, mengambil tindakan drastik itu setelah kecewa dengan
prestasi buruk pasukan kebangsaan dalam beberapa kejohanan antarabangsa kebelakangan ini.
“Keputusan itu dibuat baginda setelah mengambil kira pandangan serta nasihat yang diterima
daripada majoriti exco yang hadir mesyuarat hari ini (semalam),” kata Timbalan Presiden FAM,
Datuk Redzuan Tan Sri Sheikh Ahmad pada sidang akhbar selepas mesyuarat itu semalam.
Turut hadir ke sidang akhbar adalah Setiausaha Agung FAM, Lt. Jen. (B) Datuk Azzudin Ahmad
dan Bendahari FAM, Dato’ Cheong Keap Tai.
Redzuan menambah, kekosongan yang ditinggalkan Chin Aun akan diisi oleh Naib Presiden
FAM, Datuk Gulzar Mohamad sementara pengganti Sathia pula akan diumumkan dalam masa
terdekat.
“Majoriti ahli mesyuarat bersetuju untuk mengangkat Datuk Gulzar selaku pengurus pasukan
manakala pengganti Sathia pula akan diputuskan oleh Jawatankuasa Pengurusan Pasukan
Kebangsaan FAM dalam sedikit masa lagi,” katanya.
Redzuan bagaimanapun enggan menyatakan sebab-sebab secara terperinci sama ada
‘penyingkiran’ itu berkaitan dengan tindakan Sathia mengeluarkan kenyataan ‘Liga Malaysia
bukan bola sepak’ selepas kekalahan 0-5 skuad kebangsaan kepada Emiriyah Arab Bersatu
(UAE) pada perlawanan kelayakan Piala Asia 2011, minggu lepas.
Sementara itu, FAM mengeluarkan amaran keras kepada setiap pasukan yang masih berhutang
dengan bekas pemain atau jurulatih mereka untuk melangsaikannya sebelum 31 Disember ini.
Menurut Redzuan, pasukan yang gagal menjelaskan hutang-hutang mereka akan dikenakan
tindakan tegas dengan tidak membenarkan mereka mengambil bahagian di dalam Liga M
musim depan.
“Mengikut data yang kami perolehi, terdapat tujuh pasukan yang masih mempunyai hutang
tertunggak dengan bekas pemain dan jurulatih mereka berjumlah RM620,000.
“Kesemua pasukan itu perlu memastikan hutang-hutang itu dibayar atau mereka boleh
melupakan saingan Liga M musim depan.
“Kami serius terhadap perkara ini bagi memastikan mutu bola sepak negara terjamin di samping
untuk menarik minat lebih ramai anak muda menceburi sukan ini secara profesional,” ujarnya.
Menyentuh mengenai pertemuan di antara FAM bersama dengan Menteri Belia Dan Sukan,
Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob Rabu ini, Redzuan menjelaskan seramai tujuh orang wakil FAM
akan turut serta di dalam pertemuan itu.
Wakil FAM akan diketuai oleh Timbalan Presiden, Khairy Jamaluddin dan Setiausaha Agung
FAM serta pengurus bola sepak kebangsaan yang baru.
“Kami akan menggunakan kesempatan bertemu menteri bagi membuat beberapa
pembentangan mengenai cadangan dan hala tuju bola sepak negara,” jelasnya.
Sunday, February 1, 2009
Subscribe to:
Post Comments (Atom)

No comments:
Post a Comment