Pengurus Chelsea, Luiz Felipe Scolari berharap, Persatuan Bola Sepak (FA) England akan menarik balik kad merah yang dilayangkan kepada bintang tengahnya, Frank Lampard kelmarin.
Lampard dibuang padang oleh pengadil, Mike Riley kerana mengkasari Xabi Alonso pada minit ke-60 ketika pasukan itu tewas 2-0 kepada Liverpool dalam perlawanan Liga Perdana di Anfield.
Keputusan tersebut dilihat terlalu keras kerana dia berpendapat bahawa kekasaran sebenarnya dilakukan oleh Alonso dan bukan Lampard.
“Jika pengadil melihat semula ulang tayang televisyen, mungkin dia akan menukar fikir mengenai kad merah yang dilayangkan kepada Lampard. Daripada penglihatan saya, ia adalah salah pemain lain, bukan Lampard.
“Saya tidak faham (dengan keputusan), tetapi mungkin sekarang selepas dia (Riley) tengok balik apa yang berlaku, dia akan tahu itu salah, dia akan tukar keputusannya dan Lampard dapat bermain pada perlawanan seterusnya.
“Sekarang, Lampard tidak dapat beraksi dalam tiga perlawanan akan datang kerana kesilapan itu,’’ kata Scolari.
Biarpun berpendapat bahawa keputusan pengadil telah merubah perlawanan, namun Scolari mengakui tonggak pertahanannya, Jose Bosingwa bernasib baik masih kekal di atas padang selepas melakukan tendangan ala-karate ke atas pemain sayap Liverpool, Yossi Benayoun ketika dia mahu mengambil sepakan sudut.
“Kalau pengadil mengambil keputusan untuk mengeluarkan Bosingwa, maka saya faham. Kad merah untuk kelakuan seperti itu boleh diterima tetapi tidak Lampard,’’ ujar Scolari.
Tahun lalu, Lampard berjaya memenangi rayuan ke atas kad merah yang dilayangkan kepadanya dalam perlawanan menentang West Ham United.
Kekalahan terbaru kepada Liverpool ini menyebabkan Chelsea kembali ke tangga ketiga Liga Perdana dengan ketinggalan lima mata di belakang pendahulu, Manchester United.
Monday, February 2, 2009
Subscribe to:
Post Comments (Atom)

No comments:
Post a Comment